Monday, January 4, 2010
Tak lama lagi ramai boleh guna internet mudah dan murah
Rais Bincang Isu Jalur Lebar Pada Persidangan APT
SEPANG, 12 Nov (Bernama) -- Persidangan Menteri-menteri Telekomuniti Asia Pasifik (APT) di Bali, Indonesia bermula Khamis sehingga Jumaat dijangka membincangkan isu-isu berkaitan sumbangan negara Asia Pasifik dalam memperkukuhkan perkhidmatan jalur lebar di negara masing-masing dan rantau itu. Ini termasuk Malaysia yang diwakili Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang akan membentangkan usul cara negara anggota Asia Pasifik boleh memberi sumbangan kepada pembangunan jalur lebar kepada negara mereka dan rantau tersebut
Selain itu perbincangan mengenai kumpulan gerak kerja Asia Pasifik bagi meningkatkan mutu rangkaian perkhidmatan telekomunikasi turut akan dibincangkan dan juga untuk menentukan sama ada aspek pembangunan teknikal jalur lebar boleh disekutukan antara negara untuk kepentingan kemanusiaan.
"Malaysia jika kita lihat kini sangat aktif dalam meningkatkan kemudahan jalur lebarnya.
"Justeru dalam persidangan ini beberapa modul juga akan kita ambil bagi membuat perbandingan," katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke persidangan dua hari itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Rabu.
Melalui persidangan itu juga satu perbandingan akan dibuat terhadap negara Asia Pasifik lain tentang bagaimana Malaysia boleh mendapatkan khidmat jalur lebar yang lebih murah dan bagaimana kerajaan dapat meminimumkan prasarana tetapi pada masa yang sama masyarakat dapat menikmati kemudahan tersebut pada tahap maksimum.
Selain itu, Rais berkata beliau juga akan membincangkan bagaimana negara Asia Pasifik boleh menjadi penyalur maklumat utama bagi memberi gambaran tentang cara hidup dan budaya masyarakat Asia berbanding yang dipaparkan media asing.
Mengenai pembangunan jalur lebar di Malaysia, Rais berkata kadar penetrasi jalur lebar sebanyak 50 peratus menjelang hujung tahun depan mungkin akan tercapai.
"Ini telah disasarkan sejak awal tahun ini lagi dan kita kini dapat tembus 30 peratus berdasar enam juta unit kekeluargaan..bila Perdana Menteri kata ia patut dicapai pada hujung tahun depan bermakna kejaran ini agak mencabar kita di kementerian.
"Justeru kita akan bersungguh-sungguh atur strategi dengan kerjasama semua syarikat telekomunikasi dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) serta kementerian berkaitan demi menjadikan jalur lebar sebagai gaya hidup masyarakat," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment